Kisah Benar Surah Yasin yang orang tidak tahu

Kisah benar Surah Yasin ini menceritakan sebuah kisah penduduk kampung yang telah mendustakan rasul-rasul mereka. Seorang lelaki yang beriman dengan dakwah rasul-rasul tersebut juga turut dibunuh. Namun dimasukkan syurga oleh Allah manakala penduduk kampung tersebut dimasukkan ke dalam neraka. Peringatan juga diberikan agar mengambil pengajaran  daripada bencana yang telah menimpa kaum-kaum yang terdahulu.[1]

 

Menurut Ibn Kathịr  (774H/1373M), lelaki tersebut adalah merupakan seorang yang berpenyakit kusta, banyak memberi sedekah  separuh daripada harta pencariannya dan memiliki jiwa yang suci. Apabila dimasukkan ke dalam syurga, Allah telah menyembuhkan penyakitnya dan menghilangkan kesedihannya. Meskipun begitu ia berharap dapat berjumpa dan memberikan nasihat kepada kaumnya setelah kematiannya (setelah dimasukkan ke dalam syurga). Ia berharap alangkah baiknya jika kaumnya tahu terhadap ganjaran, pembalasan dan nikmat yang berterusan yang diterimanya, sudah pasti ia mahu memimpin mereka untuk mengikuti para rasul. Lelaki tersebut memiliki sikap yang bersungguh-sungguh untuk memberikan petunjuk jalan yang benar kepada kaumnya.[2]

 

Surah ini juga menjelaskan berkenaan adanya hari kebangkitan sesudah kematian. Persoalan tentang adanya hari kebangkitan semula sesudah mati menjadi isu besar untuk sebahagian orang mempercayainya. Oleh hal demikian, Allah telah mengemukakan bukti dengan meminta kepada manusia agar melihat kekuasaan Allah menghidup bumi yang mati menjadi subur. Keagungan kuasa yang tiada tandingnya dalam mentadbir kejadian malam dan siang, mengawal perjalanan matahari, bulan dan bintang-bintang dan menstabilkan perjalanan kapal-kapal laut dengan selamat tanpa ditenggelamkan dengan ombak yang besar. Hujah-hujah yang diketengahkan itu, tidak hanya terbatas membuktikan keagungan dan kekuasaan-Nya bahkan mendesak pemikiran manusia supaya meneroka, dan berfikir mengenai khazanah ilmu yang tiada berpenghujung. Allah yang Maha Agung, telah mendedahkan beberapa manfaat berkenaan jasad-jasad kelangitan seperti matahari, bulan, bintang dan planet-planet sebagai langkah permulaan untuk dibuat penelitian. Antaranya bintang telah terbukti dapat memberikan petunjuk jalan bagi mengelakkan manusia sesat menempuh perjalanan laut mahupun padang pasir yang terbentang luas. Kajian terhadap fakta yang dinyatakan sudah cukup untuk membuktikan Allah Maha berkuasa menghidupkan dan mambangkitkan semula manusia yang sudah mati.[3]

 

Fakhr al-Rāzị (606H/1210M) menjelaskan bahawa terdapat 2 faktor mengapa penjelasan ini dinyatakan oleh Allah. 2 Faktor tersebut ialah:

 

  1. Apabila manusia ingkar, bersikap negatif dan degil terhadap hari kebangkitan, maka Allah menunjukkan tanda-tanda kekuasaan-Nya bagaimana cara menghidupkan semula manusia yang telah mati.
  2. Setelah menjelaskan mengenai perihal dan kisah para rasul dan kemusnahan golongan-golongan pendusta, maka Allah mengajak mereka untuk memikirkan mengenai ketauhidan-Nya dengan menunjukkan bukti bagaimana manusia perlu melakukan yang demikian. Bagi menjelaskan perkara tersebut, maka Allah memulakan penjelasan mengenai bumi yang menjadi tempat tinggal manusia dan merupakan tempat yang tidak boleh dipisahkan daripadanya sama ada dalam ke adaan diam mahupun bergerak.[4]

 

Sungguhpun bukti-bukti yang dijelaskan begitu terang dan nyata, namun ada juga manusia yang ingkar kepada Allah S.W.T. Mereka diberikan peringatan akan menerima azab Allah yang pedih antaranya gambaran huru-haranya hari kiamat yang mengejutkan. Mereka dibangkitkan dan dihimpunkan hanya dengan satu tiupan. Mereka yang ingkar diberikan gambaran awal oleh Allah bahawa mereka bakal mengakui penyelasan mereka sekaligus berterus terang bahawa hari kebangkitan adalah benar. Namun Allah hanya menyediakan neraka jahanam kepada mereka. Ini adalah kerana penyesalan mereka sudah terlambat dan tidak boleh merubah nasib yang menimpa diri mereka.[5]

 

Selepas itu Allah menggambarkan golongan yang beriman kepada-Nya. Mereka mendapat nikmat di dalam syurga yang tidak dapat dibayangkan oleh lintasan hati manusia. Mereka mendapat jaminan keamanan, ketenteraman dan kebahagian daripada Allah yang Maha mengasihani.[6] Surah ini juga menolak tohmahan orang-orang kafir musyrikin yang mendakwa Rasulullah S.A.W adalah seorang penyair, bahkan baginda adalah merupakan pemberi peringatan menggunakan Al-Qur’ān. Manusia perlu mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka.

 

Surah Yasin diakhiri dengan jawapan balas yang mengejutkan terhadap mereka yang membantah dan menolak adanya hari kebangkitan. Jawapan yang dikemukakan Allah menyebabkan manusia terpinga-pinga. Jawapan yang diberikan adalah satu penjelasan yang pelik mengenai tumbuhan yang segar menghijau tiba-tiba boleh terbakar. Sedangkan sebelum ini, manusia beranggapan pepohon yang menghijau hanya terbakar apabila menjadi kering. Mengkaji dan menganalisis jawapan yang yang diberikan oleh Allah, akhirnya membuka dan mendedahkan satu rahsia bahawa Allah mampu untuk melakukan hari kebangkitan![7]

 

Surah ini sebenarnya ingin menyedarkan dan menghidupkan perasaan dan jiwa manusia dengan pendedahan yang luar biasa. Manusia tidak menyangka sama sekali jawapan yang diberikan sebenarnya memperbodohkan diri mereka sendiri sekaligus memperakukan mereka ini sebenarnya jahil dan ilmu yang dimiliki hanyalah setitik yang melekat pada sebatang jarum yang dicelupkan ke dalam laut yang terbentang luas. Oleh yang demikian, untuk apa mereka menentang Allah?[8]

[1] Wahbah Zuhailị, al-Tafsịr al-Munịr Fi al-Akịdah wa al-Syariah, wa al-Manhaj, 22:288

[2] Al-Imam al-Hāfiż Imād al-Dịn Abū  al-Fịdā’ Ismail Ibn Kathịr , 1997M/1417H, Tafsịr al-Qur’ān al-Karịm, Cetakan Maktabah al-Imān, Mansūrah, Egypt, 3 : 575

[3] Wahbah Zuhailị, al-Tafsịr al-Munịr Fi al-Akịdah wa al-Syariah, wa al-Manhaj, 22:289

[4] Fakhr al-Dịn Ibn al-Allāmah Đia’uddịn Umar (1981),Tafsịr Mafātịhul al-Ghaib, Dār al-Fikr, Beirut 26: 65

[5] Wahbah Zuhailị, al-Tafsịr al-Munịr Fi al-Akịdah wa al-Syariah, wa al-Manhaj, 22:289

[6] Ibid

[7] Ibid

[8] Ibid

 

Ust Zul hilmei Mohamad Rohani,
Penulis Buku
Fakta Saintifik Surah Yasin

Surah Yasin dengan Fakta Saintifik

Kelebihan Surah Yasin diambil dari hadith yang dhoif?

Kelebihan Surah Yasin memang banyak. Terdapat banyak hadis dan athar yang diriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W serta golongan salaf tentang galakan, kelebihan dan ganjaran besar bagi mereka yang membaca dan beramal dengan Surah Yasin. Antara hadis-hadis yang menjelaskan mengenai kelebihan Surah Yasin ialah :

 

  1. Mendapat pengampunan daripada Allah S.W.T. Abū Hurairah r.a ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

 

من قرأ يس في ليلة ابتغاء وجه الله تعالى غفر له تلك الليلة

Maksudnya:Sesiapa yang membaca Surah Yasin pada satu malam kerana menuntut keredhaan Allah , nescaya dosanya diampunkan (oleh Allah SWT) pada malam itu. [1]

 

  1. Segala hajatnya akan tercapai. Aţa bin Abị Rabāh ada meriwayatkan bahawa telah sampai kepada berita bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

من قرأ يس في صدر النهار قضيت حوائجه

Maksudnya:Sesiapa yang membaca Surah Yasin pada awal pagi, maka segala hajatnya akan ditunaikan. [2]

 

 

  1. Surah Yasin adalah merupakan jantung al-qur’ān. Nabi Muhammad SAW telah bersabda:

ان لكل شيء قلبا وان قلب القرآن يس من قرأها فكأنما قرأ القرآن عشر مرات

Maksudnya:Sesungguhnya setiap sesuatu itu memiliki jantung dan jantung bagi Al-quran adalah Surah Yasin. Sesiapa yang membaca Surah Yasin maka Allah memberikan ganjaran seolah-olah ia membaca al-Quran sebanyak 10 kali. [3]

 

  1. Hadis Mauqūf yang diriwayatkan oleh Ibn Abbās:

من قرأ يس حين يصبح أعطي يسر يومه حتى يمسي ومن قرأها في صدر ليلة أعطي يسر ليلته حتى يصبح

 

Maksudnya:Barangsiapa yang membaca Surah Yasin pada waktu pagi, ia akan dipermudahkan segala urusannya sepanjang hari tersebut sehingga waktu petang, dan barangsiapa yang membacanya bila tiba waktu malam, ia akan dipermudahkan segala urusannya pada malam tersebut sehingga waktu pagi. [4]

 

  1. Hadis yang diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasār r.a juga bahawa Nabi SAW telah bersabda:
اقرؤا على موتاكم يس

Maksudnya:Bacalah Surah Yasin kepada orang-orang yang mati daripada kalangan kamu  [5]

 

[1] Al-Dārimị, (2000), Sunan al-Dārimị (4 jilid), ditahqịq oleh Husịn Salịm al-Dārānị, Cetakan Dār al-Mughnị Li al-Nasyr Wa al-Tauzị’, Mekah, 4:2150, no hadis 3460. Menurut pentahqiq, hadis ini đhaif kerana terputus sanadnya.

[2] Ibid. Hadis ini đhaif, hadis mursal.

[3] Al-Tirmidhi, (1975), Sunan al-Tirmidhi (5 jilid), ditahqịq oleh Ibrahim Aţwah I’wađ, Cetakan Musţoffā al-Bābị al-Halbị Wa Aulāduhū Bi Misr, Kaherah, 5:162, no hadis 2887

[4] Al-Dārimị, (2000), Sunan al-Dārimị  4:2151, no hadis 3462. Menurut pentahqiq, hadis ini memiliki sanad yang hasan dan merupakan hadis yang mauquf  ke atas Ibn Abbās.

[5] Ibnu Habbān, (1993), Ṣahịh Ibn Habbān (18 jilid), ditahqiq oleh Syua’ib al-Arna’uţ, cetakan Muassasah  al-Risālah, Beirut, 7:269, no hadis 3002. Sanad hadis ini đhaif. Abū Hātim menjelaskan bahawa yang dimaksudkan sebagai orang-orang yang mati di sini ialah orang-orang yang sedang nazak bukannya orang yang telah meninggal dunia. Lihat Ṣahịh Ibn Habbān 7:271

 

Jika diperhatikan kepada riwayat di atas, kebanyakan riwayat datang daripada hadith yang dhoif. Namun demikian tidak menjadi kesalahan kepada untuk kita untuk lakukan amalan terutamanya yang berkaitan dengan Surah Yasin. Tingkatkanlah usaha memahaminya dengan melakukan kajian terhadap ayat-ayat yang terdapat dalam Surah Yasin. Sampai bila kita hanya bergantung kepada bacaan dan tidak menaiktaraf pemahaman terhadap Surah Yasin. Lakukan perubahan pada diri anda bagi memastikan hari ini lebih baik dari semalam!

Ust Zul hilmei Mohamad Rohani,
Penulis Buku
Fakta Saintifik Surah Yasin

Fakta Saintifik Surah Yasin

Surah Yasin Ayat 7 – Maksud

لَقَدۡ حَقَّ ٱلۡقَوۡلُ عَلَىٰٓ أَكۡثَرِهِمۡ فَهُمۡ لَا يُؤۡمِنُونَ–٧

Surah Yasin ayat 7- Maksudnya: Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.

 

Ibn Asyur menjelaskan dalam tafsirnya berkenaan Surah Yasin ayat 7 ini, bahawa ini penjelasan mengenai kedudukan manusia yang diutuskan Nabi Muhammad S.A.W kepada mereka. Mereka terbahagi kepada 2 golongan :

  1. Golongan yang tidak mahu mendengar peringatan
  2. Golongan yang mendengar peringatan dan mendengar peringatan

Beliau menjelaskan kebanyakan mereka layak untuk menerima azab.

Mutawalli Sya’rawi pula menjelaskan, meskipun mereka berhak menerima azab, namun Allah memberikan ruang kepada mereka untuk membuat pilihan dan lakukan penilaian. Namun akhirnya mereka kekal dengan kekufuran.

Penangguhan kematian dan azab kepada mereka adalah bukti Allah sentiasa memberi ruang kepada mereka untuk kembali kepada Allah. Namun sikap mereka yang degil, akhirnya mereka menerima azab Allah.

 

Namun demikian, tidak dinafikan ada juga yang asalnya kufur, akhirnya mereka kembali kepada Allah di saat akhir. Inilah tanda Allah memberikan ruang kepada mereka tanpa paksaan. Tiada paksaan dalam keimanan kepada Allah.

Jika diperhatikan kepada maksud ayat yang ke 7 Surah Yasin ini, mengapa orang melayu melakukan amalan tertentu ambilan Surah Yasin ayat ke 7 ini? Saya sendiri tidak jumpa sumber asal kepada amalan mereka…Anda ada jawapan? boleh kongsikan di bawah mungkin boleh bantu saya untuk membuat ulasan.

 

Ulasan ini bukanlah ulasan yang sama yang terkandung di dalam Buku Fakta Saintifik Surah Yasin

 

Ust Zul hilmei Mohamad Rohani
Penulis Buku
Fakta Saintifik Surah Yasin

Fakta Saintifik Surah Yasin

Surah Yasin PDF Download

Surah Yasin PDF sangat diperlukan era digital. Ini disebabkan ramai yang menggunakan handphone untuk tujuan baca di mana-mana. Kadang-kadang Surah Yasin PDF ni digunakan untuk buat soalan peperiksaan bagi guru-guru dan sebagainya…Manfaatkan kemudahan yang ada dengan cara yang lebih mudah. Surah Yasin Pdf ini telah disertakan dengan terjemahan dalam bahasa melayu.

Apa yang penting fahamilah Surah Yasin ini. Sudah bertahun-tahun kita membacanya, namun amat jarang untuk kita berusaha memahaminya. Sehari ambil satu ayat untuk faham. Jika tidak faham jangan malu untuk bertanya.

 

 

Ust Zul hilmei Mohamad Rohani
Penulis Buku
Fakta Saintifik Surah Yasin

Fakta Saintifik Surah Yasin

Surah Yasin ayat 1-10

سُوۡرَةُ یسٓ
بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

يسٓ (١) وَٱلۡقُرۡءَانِ ٱلۡحَكِيمِ (٢) إِنَّكَ لَمِنَ ٱلۡمُرۡسَلِينَ (٣) عَلَىٰ صِرَٲطٍ۬ مُّسۡتَقِيمٍ۬ (٤) تَنزِيلَ ٱلۡعَزِيزِ ٱلرَّحِيمِ (٥) لِتُنذِرَ قَوۡمً۬ا مَّآ أُنذِرَ ءَابَآؤُهُمۡ فَهُمۡ غَـٰفِلُونَ (٦) لَقَدۡ حَقَّ ٱلۡقَوۡلُ عَلَىٰٓ أَكۡثَرِهِمۡ فَهُمۡ لَا يُؤۡمِنُونَ (٧) إِنَّا جَعَلۡنَا فِىٓ أَعۡنَـٰقِهِمۡ أَغۡلَـٰلاً۬ فَهِىَ إِلَى ٱلۡأَذۡقَانِ فَهُم مُّقۡمَحُونَ (٨) وَجَعَلۡنَا مِنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ سَدًّ۬ا وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ سَدًّ۬ا فَأَغۡشَيۡنَـٰهُمۡ فَهُمۡ لَا يُبۡصِرُونَ (٩) وَسَوَآءٌ عَلَيۡہِمۡ ءَأَنذَرۡتَهُمۡ أَمۡ لَمۡ تُنذِرۡهُمۡ لَا يُؤۡمِنُونَ (١٠

Surah Yasin ayat 1-10 dimulakan dengan 2 huruf yang terdiri daripada huruf Ya dan Seen. 2 huruf ini merupakan nama kepada surah ini. Surah ini memiliki keunikan yang tersendiri apabila penjenamaan namanya diambil daripada ayatnya yang pertama. Tidak seperti surah-surah yang lain, meskipun bermula dengan huruf, ia dinamakan dengan nama yang lain. Sebagai satu contoh Surah al-Baqarah bermula dengan Alif, Lam dan Mim, namun nama surah dinamakan sebagai Surah al-Baqarah (iaitu lembu betina yang ada kaitan dengan kisah Bani Israel yang diarah untuk menyembelih lembu tersebut).

 

Maksud ayat Surah Yasin 1-10 ialah : [1] Yaa, Siin. [2] Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh, [3] Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) termasuk dikalangan mereka yang diutuskan [4] Yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam). [5] Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani, [6] Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai. [7] Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman. [8] Sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran sebagai) belenggu yang mengikat kedua tangan mereka ke batang leher mereka; (lebarnya belenggu itu) hingga (mendongakkan) dagu mereka lalu menjadilah mereka terdongak.  [9] Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar). [10] Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya – mereka tidak akan beriman.

 

Ayat ini menjelaskan mengenai sikap manusia terhadap kebenaran. Antara faktor utama yang menghalang mereka ialah sifat tamak terhadap harta benda dan pangkat.

 

Akhirnya mereka tidak dapat melihat kebenaran disebabkan telah dikaburi dengan keindahan harta dan pangkat. Sikap ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja di kalangan manusia walau apa jua kedudukannya.

 

Sewajarnya kita perlu berhati-hati dalam menjalani kehidupan agar terselamat daripada amaran yang dinyatakan oleh Allah.

 

Perhatikanlah kepada diri kita sendiri sebelum menilai diri orang lain.

 

Ust Zul hilmei Mohamad Rohani
Penulis Buku
Fakta Saintifik Surah Yasin

Fakta Saintifik Surah Yasin

Siapa perintis kepada ilmu astronomi?

Ilmu astronomi menurut Mat Rofa Ismail, diasaskan oleh Nabi Idris A.S dan diwariskan kepada rangkaian ahli astronomi Yunani termasuk Pithagoras dan Batlamius, lalu dikaji kembali oleh rangkaian ahli astronomi tamadun islam seperti al-Khawarizmi, Ibn Yunus al-Safadi, al-Biruni, al-Zarqali, Ulugh Begh, Qadi Zadeh dan Abul Wafa al-Buzajani.

Ilmu astronomi yang berkaitan dengan fiqh islam lebih dikenali sebagai ilmu falak dalam kalangan ilmuan islam. Ilmu falak mengkhususkan kajiannya berkaitan dengan perjalanan bumi, bulan, bintang serta peristiwa yang berkaitan yang ada hubungan dengan ibadat umat islam.

Selain itu, ilmu falak juga turut dikaji untuk tujuan pelayaran, peperangan, pengembaraan, pertanian dan perayaan. Disebalik kajian falak, di sana terdapat konsep matematik yang mendalam yang harus diketahui umat islam untuk tujuan pengiraan perjalanan dan edaran jirim langit yang berkenaan.

Ilmu matematik yang dimaksudkan termasuk aritmetik sistem sittiyyah (sixty sistem), aljabar, geometri, trigonometri, trigonometri sfera, optik, analisis berangka, geometri sfera, serta permodelan matematik.

Sumbangan umat islam dalam falak serta matematikyang mendasarinya dihuraikan secara umum bagi memperlihatkan sumbangan islamyang agong dalam bidang berkenaan sebelum dipindahkan kemudiannya kepada eropah.

 

Ust Zul hilmei Mohamad Rohani
Penulis Buku
Fakta Saintifik Surah Yasin

Fakta Saintifik Surah Yasin

 

Kisah dalam al-Quran sebenarnya adalah ilmu arkeologi

Arkeologi islam telah terbina bermula dengan kisah-kisah benar yang terdapat dalam al-Quran. Al-Quran mendedahkan sejarah kehidupan manusia terdahulu yang pernah Allah utuskan kepada mereka Nabi dan Rasul.

Al-Quran menyarankan agar manusia membuat pengembaraan ke serata dunia bagi mengesahkan kebenaran yang diceritakan Allah dalam al-Quran. Jika manusia tidak yakin dengan al-Quran, maka Allah mencabar manusia untuk melakukan kajian.

Kajian demi kajian terhadap kisah-kisah al-Quranlah yang menyebabkan ia berkembang menjadi ilmu arkeologi.

Maka terbitlah beberapa karya hebat seperti al-Athar al-Baqiah Anil Qurun al-Khaliah, al-masalik wa al-mamalik dan seumpamanya yang menyentuh ilmu ini. Al-Biruni menulis Tahqiq ma Li’l Hind, berkaitan dengan geografi, geologi dan kesan sejarah india.Buku ini diterjemahkan ke bahasa latin lalu dijadikan panduan oleh pelayar Portugis ke India 1498. Attar al-Khatib pula mengkaji batu batan serta sifatnya yang berkaitan fosil.

 

Pada asalnya mereka mahu mencari bahan bukti, kesan sejarah yang diceritakan oleh Allah, tiba-tiba mereka menemui teknologi-teknologi luarbiasa jauh lebih hebat daripada apa yang kita miliki.

Firman Allah yang menjelaskan kaum terdahulu jauh lebih hebat tamadunnya:

 

Maksudnya:Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan, kemewahan dan teknologi) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?

Ilmu Palentologi berkembang setelah al-Biruni menjadi pelopor kepada pengkajian terhadap fosil. Tokoh seperti  Al-Biruni turut mengkaji kisah ZulQarnain serta mentafsirkannya bahawa ada kawasan kutub yang siangnya 24 jam berdasar kisah ini. Kajian geologi berkembang daripada arkeologi dalam tamadun islam

Kisah umat terdahulu serta peninggalan mereka dalam al-Quran berpindah ke Barat kemudiannya berkembang menjadi ilmu arkeologi

 

Ust Zul hilmei Mohamad Rohani
Penulis Buku
Fakta Saintifik Surah Yasin

Fakta Saintifik Surah Yasin

Adakah ahli ilmu falak merupakan ahli ilmu matematik?

Ilmu falak dalam tradisi islam, adalah satu juzuk ilmu matematik. Imam Ghazali berpandangan bahawa matematik merupakan ilmu fardhu Kifayah kerana hubungannya denan falak. Imam Syafie dalam kata-katanya ada menjelaskan “Sesiapa mempelajari matematik, akalnya cemerlang. Perlu diketahui hampir semua ulama agung islam mengusai ilmu matematik. Ini keperluan asas umat islam.

Al-Quran ada menjelaskan beberapa sampel penting agar manusia melakukan kajian sebagai cara untuk mengenal Allah. Terdapat dalam al-Quran satu surah khas mengenai bulan iaitu Surah Al-Qamar, mengenai matahari iaitu Surah As-Syam juga mengenai bintang iaitu surah An-Najm.

 

Al-Quran juga ada menjelaskan mengenai fenomena yang terhasil daripada keseluruhan sampel-sampel tersebut seperti kejadian malam -Surah Al-Lail, kejadian waktu dhuha -Surah Adhuha….Kajian terhadap sampel-sampel ini pada asalnya mahu mengenl Allah, tiba-tiba manusia menemui ilmu matematik yang sangat hebat hasil ukuran yang sangat rapi, kompleks dan rumit terhadap alam semesta.

Maka lahirlah bidang trigonometri diasaskan oleh ahli falak islam termasuk al-Tusi, al-Biruni, al-Battani, al-Buzajani serta beberapa tokoh-tokoh yang lain. Bumi Iran paling ramai melahirkan ilmuan islam dalam matematik.

Sinus, kosinus, tangen diasakan oleh umat islam dari Iran iaitu Abu Wafa’ al-Buzajani. Istilah asal yang digunakan umat islam untuk istilah beliau ialah jaib, jaib tamam dan zill secara tertibnya. Beliau membuktikan rumus trigonometri termasuk rumus untuk penambahan sinus, penambahan kosinus dan rumus yang berkaitan. Ilmu ini kemudiannya dibawa ke barat lalu diistiharkan oleh mereka sebagai ilmu yang diasaskan di barat oleh Rogiomontanus dan lain-lain.

Konsep logaritma dicetuskan oleh Abu Hassan Ali bin Ahmad al-Nasawi menerusi karyanya dalam bahasa farsi yang kemudiannya diterjemahkan ke bahasa arab dengan tajuk al-Muqni fil Hisab al hind. Ibnu Yunus al-Safadi menukar proses pendaraban kepada proses penambahan menerusi rumus trigonometri.

 

Ust Zul hilmei Mohamad Rohani
Penulis Buku
Fakta Saintifik Surah Yasin

Fakta Saintifik Surah Yasin

Tiada Ijtihad Baru-Muhammad Said Ramadhan al-Butiy Kesal

Tiada Ijtihad baru menyebabkan Muhammad Said Ramadhan al-Butiy (2004) melahirkan rasa kesalnya terhadap umat Islam yang masih bersikap tertutup, sedangkan mereka amat memerlukan idea dan ijtihad baru untuk berubah. Bagaimanakah akan lahir idea baru dalam keadaan diri dibelenggu oleh sikap tertutup? Yang jelas sekali adalah tidak merelakan apa-apa unsur idea yang lahir daripada amalan ijtihad, mengharamkan kegiatan percambahan idea dengan mengeluarkan fatwa atau bahawa kini pintu ijtihad sudah tertutup, sekarang tiada lagi orang yang layak berijtihad.

Sesiapa sahaja yang mengeluarkan idea terus dikritik atas alasan tiada kelayakan untuk berijtihad. Akhirnya tiada siapa yang berani mengeluarkan idea baru.[1] Justeru bagi membuka ruang kepada idea baru ini, pendekatan baru mesti diambil dalam memperkukuh akidah ummah yang semakin runtuh.  Antaranya ialah ayat-ayat kauniyyah dijadikan sebagai pemangkin pengukuhan akidah. Masalah ini perlu ditangani secara serius oleh semua pihak bagi menghasilkan idea baru.

Ijtihad baru memerlukan kepakaran yang mendalam dan tidak terikat dengan kitab-kitab terdahulu yang banyak menghuraikan permasalahan di zaman mereka. Bila terikat dengan kitab-kitab lama dalam mengeluarkan hukum, akhirnya islam dilihat sempit dan tidak terbuka untuk berada di zamannya. Walhal hukum itu boleh berubah bila berubahnya situasi dan keadaan.

[1] Anisah Binti Zainal Abidin, Ulasan Bab Dalam Buku: Mengapa Tamadun Islam menjadi Kaku dan Tamadun Barat menjadi Gemilang Dlm. Islam Hadhari Dalam Pembangunan Insan oleh Dr. Said Ramadhan al-Butiy Jurnal Hadhari 2 (2) (2010) 125-131, hlm 125-126

 

Ust Zul hilmei Mohamad Rohani
Penulis Buku
Fakta Saintifik Surah Yasin

Fakta Saintifik Surah Yasin