Ketahui lebih lanjut klik di sini

Ayat-ayat kauniyyah adalah sample kajian umat islam mengenai sains

Ayat-ayat kauniyyah yang terdapat dalam Al-Quran adalah merupakan tanda-tanda kekuasaan Allah S.W.T yang sentiasa memberikan pengertian yang baru yang terus menerus mengenai kemukjizatannya sepanjang zaman. Pengkajiannya tidak boleh dihentikan atau dibataskan untuk satu jangka masa tertentu, bahkan mestilah berjalan sehingga hari kiamat. Menahan dan membataskannya akan menjadikan Al-Quran jumud, kaku dan beku.  Terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi :

عَنْ الْحَارِثِ قَالَ مَرَرْتُ فِي الْمَسْجِدِ فَإِذَا النَّاسُ يَخُوضُونَ فِي الْأَحَادِيثِ فَدَخَلْتُ عَلَى عَلِيٍّ فَقُلْتُ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ أَلَا تَرَى أَنَّ النَّاسَ قَدْ خَاضُوا فِي الْأَحَادِيثِ قَالَ وَقَدْ فَعَلُوهَا قُلْتُ نَعَمْ قَالَ أَمَا إِنِّي قَدْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ أَلَا إِنَّهَا سَتَكُونُ فِتْنَةٌ فَقُلْتُ مَا الْمَخْرَجُ مِنْهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ كِتَابُ اللَّهِ فِيهِ نَبَأُ مَا كَانَ قَبْلَكُمْ وَخَبَرُ مَا بَعْدَكُمْ وَحُكْمُ مَا بَيْنَكُمْ وَهُوَ الْفَصْلُ لَيْسَ بِالْهَزْلِ مَنْ تَرَكَهُ مِنْ جَبَّارٍ قَصَمَهُ اللَّهُ وَمَنْ ابْتَغَى الْهُدَى فِي غَيْرِهِ أَضَلَّهُ اللَّهُ وَهُوَ حَبْلُ اللَّهِ الْمَتِينُ وَهُوَ الذِّكْرُ الْحَكِيمُ وَهُوَ الصِّرَاطُ الْمُسْتَقِيمُ هُوَ الَّذِي لَا تَزِيغُ بِهِ الْأَهْوَاءُ وَلَا تَلْتَبِسُ بِهِ الْأَلْسِنَةُ وَلَا يَشْبَعُ مِنْهُ الْعُلَمَاءُ وَلَا يَخْلَقُ عَلَى كَثْرَةِ الرَّدِّ وَلَا تَنْقَضِي عَجَائِبُهُ هُوَ الَّذِي لَمْ تَنْتَهِ الْجِنُّ إِذْ سَمِعَتْهُ حَتَّى قَالُوا { إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ } مَنْ قَالَ بِهِ صَدَقَ وَمَنْ عَمِلَ بِهِ أُجِرَ وَمَنْ حَكَمَ بِهِ عَدَلَ وَمَنْ دَعَا إِلَيْهِ هَدَى إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ خُذْهَا إِلَيْكَ يَا أَعْوَرُ 

Maksud:Daripada al-Harith ia telah berkata:Aku telah berjalan di dalam masjid, dan orang ramai mula berbicara mengenai perkara-perkara yang tidak berfaedah, maka aku pun bertemu dengan Saidina Ali R.A lalu aku bertanya kepadanya:Wahai Amirul Mukminin! Adakah kamu tidak melihat bahawa orang ramai pada ketika ini mula bercakap mengenai perkara-perkara yang tidak berfaedah? Lalu Saidina Ali R.A menjawab. Adakah mereka itu melakukannya? Lalu aku menjawab:Ya! Mereka telah melakukannya.  Maka Saidina Ali berkata:Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah S.A.W telah bersabda:”Ketahuilah bahawa akan tiba kepada kamu zaman yang menguji keimanan kamu (fitnah)”.  Maka aku (Saidina Ali R.A) pun bertanya kepada Rasulullah S.A.W:”Bagaimana jalan keluar daripada fitnah itu wahai Rasulullah! Lalu Nabi S.A.W bersabda:Kitab Allah!  Di dalamnya terdapat kisah-kisah manusia sebelum daripada kamu serta berita yang akan berlaku selepas daripada kamu serta memberikan kata putus terhadap perselisihan yang berlaku antara kamu dan bukannya senda-gurau.  Sesiapa yang meninggalkannya lantaran sombong, maka Allah akan mematahkannya, dan sesiapa mencari petunjuk selain al-qur’ān maka Allah akan menyesatkannya. Al-Qur’ān adalah tali Allah yang kukuh, pemberi peringatan yang Maha bijaksana dan merupakan jalan yang lurus, dengannya keinginan-keinginan tidak akan menyimpang manakala lidah (yang bertutur dengannya) tidak akan bercampur dengan kebatilan.  Para ulama pula tidak akan merasa puas (dengan mengkajinya), bila dibaca berulang-ulang kali tidak pula merasa jemu. Keajaiban yang dibicarakannya tidak akan habis. Golongan jin juga tidak merasa puas apabila mendengar al-Quran sehingga mereka berkata:”Sesungguhnya kami telah mendengar al-Qur’ān dengan rasa kehairanan dan terus kami beriman”.  Sesiapa yang berkata-kata dengannya maka ia adalah benar, sesiapa beramal dengannya ia akan mendapat ganjaran, sesiapa yang memutuskan hukum dengannya ia akan melakukan keadilan, sesiapa yang mengajak kepadanya ia telah mengajak kepada jalan yang lurus. Maka hendaklah kamu ambil wahai (al-Harith) yang buta sebelah matanya. [1]

 

Idea-idea baru untuk kemajuan dan pembangunan umat Islam boleh diterokai asas-asa umumnya berpandukan al-qur’ān. Hal ini memerlukan kesedaran umat ini sentiasa mendampingi al-qur’ān dan mengkajinya. Semua ini boleh terlaksana dengan adanya sikap ingin mengkaji dan berfikiran terbuka untuk menerima idea-idea baru yang ditemui. Sebaliknya jika mereka bersikap jumud dan tertutup maka perkara tersebut akan terhalang dari mereka.

surah yasin

Ketahui lebih lanjut…

 

Sehubungan dengan ini, Anisah Binti Zainal Abidin dalam tulisan jurnalnya menukilkan pendapat Dr. Said Ramadhan al-Butiy (2004) yang melahirkan rasa kesalnya terhadap umat Islam yang masih bersikap tertutup, sedangkan mereka amat memerlukan idea baru untuk berubah. Bagaimanakah akan lahir idea baru dalam keadaan diri dibelenggu oleh sikap tertutup? Yang jelas sekali adalah tidak merelakan apa-apa unsur idea yang lahir daripada amalan ijtihad, mengharamkan kegiatan percambahan idea dengan mengeluarkan fatwa atau bahawa kini pintu ijtihad sudah tertutup, sekarang tiada lagi orang yang layak berijtihad. Sesiapa sahaja yang mengeluarkan idea terus dikritik atas alasan tiada kelayakan untuk berijtihad. Akhirnya tiada siapa yang berani mengeluarkan idea baru.[2] Justeru bagi membuka ruang kepada idea baru ini, pendekatan baru mesti diambil dalam memperkukuh akidah ummah yang semakin runtuh.

 

Perihal ayat-ayat kauniyyah sebagai pemangkin pengukuhan akidah juga telah dinyatakan oleh Said Hawwa (1935-1989M) [3]

“….walaupun ayat-ayat kauniyyah adalah merupakan jalan untuk manusia mengenal Allah. Namun kesilapan dalam memberikan jalan untuk mengenal Allah boleh menjadi faktor penghalang yang menjauhkan manusia daripada mengenal-Nya. Mengenal Allah dengan cara menghukum Allah sama seperti metarial adalah cara yang salah. Sudah pasti cara yang salah ini tidak boleh membawa manusia untuk beriman kepada-Nya. Pada zaman ini beberapa individu mendakwa bahawa sesuatu yang tidak boleh dilihat, dijadikan sebagai hujah keingakaran mereka terhadap kewujudan Allah S.W.T”. [4]

Justeru itu, perlu membataskan jalan untuk mengenal Allah melalui konsep al-Quran yang lebih luas, mestilah dijadikan asas bagi mengelakkan penggunaan kayu ukur yang salah dalam menentukan kewujudan dan kekuasaan-Nya. Bukan semua kaedah boleh digunapakai untuk mengenal Allah S.W.T.

Justeru itu, walaupun ayat-ayat kauniyyah ini dinyatakan oleh Allah sebagai ayat-ayat yang kukuh, namun ia juga merupakan faktor yang menyebabkan ramai manusia tidak beriman dan ingkar kepada-Nya. Mereka tidak beriman bukanlah berpunca ayat-ayat al-Quran yang tidak kukuh, sebaliknya sikap manusia itu sendiri.

 

Firman Allah S.W.T :

 

Maksudnya:Alif, Laam, Raa’. al-Quran sebuah kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap kukuh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.

(Surah Hud 11:1)

 

Firman Allah S.W.T :

 

Maksudnya:Yang mendengar ayat-ayat penerangan Allah sentiasa dibacakan kepadanya, kemudian dia terus berlagak sombong (enggan menerimanya), seolah-olah ia tidak mendengarnya; oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

(Surah al-Jathiyah 45:8)

Faktor utama keingkaran manusia untuk menerima kewujudan Allah S.W.T adalah kembali kepada sikap manusia yang sombong dan bongkak untuk mengakui kebenaran, dan matahatinya telah tertutup. Meskipun mereka itu digerakkan ke hulu ke hilir dengan kuasa Allah S.W.T,  mereka tetap kekal dengan keingkaran mereka.[5] Sebaliknya jika memberikan kesan yang positif terhadap ayat-ayat Allah S.W.T, ini bermakna mereka memiliki sikap terbuka dan bersedia mendegar ayat-ayat Allah dengan tujuan mencari kebenaran.

[1] Muhammad Bin Isā Abū Isā al-Tirmidhị, al-Jāmi’ al-Ṣaḥịḥ Sunan Tirmidhị, 7 jilid, Kitāb Fađa’il al-qur’ān, bab ma jā’ fị fađli al-qur’ān, Beirut, Dar Ihyā’ al-Turāth al-Arabi, 5:172. Imam Tirmidhị menjelaskan bahawa sanad hadith ini tidak diketahui, manakala perawi (al-Harith) mempunyai beberapa tuduhan dalam meriwayatkan hadith.

[2] Anisah Binti Zainal Abidin, Jurnal Hadhari 2 (2) (2010) 125-131, halaman 125-126

[3] Nama sebenar beliau ialah Sa’ịd Bin Muhammad Dib Hawwā. Silsilah keluarganya bercantum dengan keturunan Rasulullah S.A.W . Beliau mendapat pendidikan secara langsung daripada bapanya seorang murabbi yang berani dan berjihad menentang penjajahan Perancis. Dr Mustofa Sibaie adalah merupakan guru beliau yang terkenal selain daripada mendapat didikan agama daripada para ulama. Menghasilkan beberapa buah kitab yang terkenal di antaranya ialah:

  1. Kitab Jundullah Thaqāfatan Wa Akhlāqan
  2. Al-Asās Fị al-Tafsịr
  3. Al-Asās Fị al-Sunnah
  4. Al-Asas Fị al-Aqịdah
  5. Allah Jalla Jalāluhu
  6. Tarbiyyatuna al-Rūhiyyah
  7. Al-Islām
  8. Jundullah Takhţiţan
  9. Risālah Ghaża’ al-Ubūdiyyah
  10. Risālah Qawānịn al-Bait al-Muslịm
  11. Muzakkirāt Fi Manāzil al-Ṣiddịqịn Wa al-Rabbāniyyịn

Lihat Herry Mohammad, DKK(2006), Tokoh – Tokoh Islam Yang Berpengaruh Abad 20, Gema Insan, Jakarta, hlm  285

[4] Sa’ịd Hawwā (1990), Allah Jalla Jalāluh, Dar al-Salam, Kaherah, hlm 14.

[5] Said Hawwa (1990), Allah Jalla Jalaluh, halaman 18.

 

Ust Zul hilmei Mohamad Rohani
Penulis Buku
Fakta Saintifik Surah Yasin

Fakta Saintifik Surah Yasin