Ketahui lebih lanjut klik di sini

Cara lakukan kajian al-Quran

Kajian al-Quran Said Hawwa (1935-1989M) telah berpendapat, beberapa syarat perlu dipenuhi agar manusia boleh menjadikan ayat-ayat kauniyyah sebagai jalan mengenal Allah dan memperkukuh akidah islamiah, iaitu :[1]

 

  1. Membebaskan diri daripada sikap sombong dan angkuh, kerana Allah tidak akan memperlihatkan ayat-ayatnya kepada hati yang sombong dan angkuh. Allah S.W.T berfirman :

Maksudnya:Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayat-Ku (yang menunjukkan kekuasaan-Ku); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.

(Surah al-A’raf 7:146)

 

  1. Membebaskan diri daripada sifat zalim dan dusta. Firman Allah S.W.T :

 

Maksudnya:dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

(Surah al-Saff :61:7)

 

surah yasin

Ketahui lebih lanjut!

 

Firman Allah S.W.T :

Maksudnya:Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)

(Surah al-Zummar 39: 3)

 

  1. Membebaskan diri daripada membuat kerosakan di atas muka bumi, melanggar perjanjian dan memutuskan hubungan. Firman Allah S.W.T :

Maksudnya:Dan Allah tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik; (Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi.

(Surah al-Baqarah 2:26-27)

 

  1. Membebaskan diri dari leka dan alpa iaitu apabila berfikir terhadap ayat-ayat Allah mestilah disertai dengan zikrullah. Allah S.W.T berfirman :

Maksudnya:Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

(Surah Ali Imran 3:190-191)

 

  1. Membebaskan diri daripada melakukan jenayah dan maksiat . Allah S.W.T telah berfirman :

Maksudnya:(Sebagaimana hati kaum-kaum yang telah lalu dimasuki perasaan mempersendakan Rasul-rasul) demikianlah pula Kami masukkan perasaan yang seperti itu ke dalam hati orang-orang yang berdosa (yang menentangmu). Mereka tidak percaya kepada Al-Quran yang engkau bawa, padahal telahpun berlaku undang-undang membinasakan orang-orang yang telah lalu (yang mendustakan Rasul-rasulnya).

(Surah al-Hijr 15:12-13)

 

  1. Membebaskan diri daripada perasaan ragu-ragu untuk menerima kebenaran apabila telah jelas dan nyata keterangannya. Allah S.W.T telah berfirman :

Maksudnya:Wahai Rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari orang-orang yang berkata dengan mulutnya: “Kami tetap beriman”, padahal hatinya tidak beriman; demikian juga dari orang-orang Yahudi, mereka orang-orang yang sangat suka mendengar berita-berita dusta; mereka sangat suka mendengar perkataan golongan lain (pendita-pendita Yahudi) yang tidak pernah datang menemuimu; mereka ini mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab Taurat) itu dari tempat-tempatnya yang sebenar. Mereka berkata:“Jika disampaikan kepada kamu hukum seperti ini maka terimalah dia, dan jika tidak disampaikannya kepada kamu, maka jagalah diri baik-baik”. Dan sesiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, maka engkau tidak berkuasa sama sekali (menolak) sesuatu apapun (yang datang) dari Allah untuknya. Mereka ialah orang-orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar.

(Surah al-Maidah 5:41)

 

Setelah mengetahui cara yang betul dan cara yang salah untuk mengenal Allah S.W.T dan beriman kepada-Nya,  maka  barulah dibentangkan penjelasan yang berkaitan ayat-ayat kauniyyah yang menunjukkan kewujudan-Nya selaku pencipta Yang Maha Agong.

 

Sebagai satu contoh ayat-ayat kauniyyah yang dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran :

Maksudnya:Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya, bahawa ia menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan; dan untuk merasakan kamu sedikit dari rahmat-Nya, dan supaya kapal-kapal belayar laju dengan perintah-Nya, dan juga supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia; dan seterusnya supaya kamu bersyukur.

(Surah al-Rum 30:46)

 

Ayat ini menerangkan bahawa Allah telah menjadikan lautan (unsur sains tabii) sebagai satu jaringan perhubungan yang menghubungkan antara satu tempat dengan tempat yang lain dan melaluinya juga manusia dapat mencari rezeki(unsur sains sosial). Ayat ini juga menyeru manusia mensyukuri nikmat-Nya (unsur ilmu ketuhanan). Kesepaduan ilmu ketuhanan, sains sosial dan sains tabii dapat diperhatikan bahawa Allah mengisyaratkan agar manusia menggunakan ilmu pelayaran (unsur sains tabii) agar dengannya mereka dapat berlayar dan melaksanakan usaha perikanan, perdagangan atau pelancongan (unsur sains sosial), di samping mensyukuri kurniaan Allah dalam perkara yang membawa kebaikan bagi mendapat keredhaan Allah (unsur ilmu ketuhanan). Ayat ini menunjukkan keimanan (unsur ilmu ketuhanan) yang dapat memelihara seseorang daripada sifat tidak jujur seperti menipu dengan mengurangi sukatan dan timbangan (unsur sains sosial). Kesepaduan ilmu ketuhanan dan sains sosial dilihat iaitu orang yang beriman menyedari bahawa menipu dalam perniagaan adalah memakan harta dengan cara batil akan menyebabkannya dimasukkan ke dalam golongan orang yang rugi. [2]

 

Firman Allah S.W.T dalam surah yang lain :

Maksudnya:Ia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir. Dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintah-Nya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya.

(al-Nahl 16: 11-12)

 

Ayat ini menerangkan hakikat tentang kurniaan Allah yang menurunkan air hujan dan menyuburkan tanah yang boleh menghidupkan tanaman (unsur sains tabii). Diterangkan jenis buah-buahan yang dapat dinikmati oleh manusia (unsur sains sosial). Allah menegaskan bahawa semua ini menunjukkan kebesaran Allah bagi orang berfikir iaitu mereka yang merenung, memerhati dan menyelidiki (unsur ilmu ketuhanan). Manusia yang menjalankan penyelidikan akan dapat memahami peraturan alam sebagai tanda kebesaran Allah dilihat sebagai kesepaduan ilmu ketuhanan, sains sosial dan sains tabii. Dengan itu menggunakan ilmu tentang alam kesuburan tanah untuk pertanian dapat menghasilkan keuntungan pada dirinya dalam bentuk hasil pertanian yang membekalkan zat untuk pertumbuhan dan kesihatan tubuh badan manusia di samping dapat pula menjadi sumber pencarian kehidupan. [3]

 

Demikianlah contoh-contoh ayat Al-Quran terhadap fenomena alam. Fenomena alam tidak berlaku secara kebetulan atau secara semulajadi. Ia dicetuskan oleh kuasa Allah S.W.T yang amat berkuasa lagi amat mengetahui. Ia menjadi sebahagian dari tanda-tanda kewujudan dan kekuasaan Allah S.W.T. Justeru manusia perlu mencari nilai-nilai tauhid yang terdapat di dalamnya.

 

[1] Said Hawwa (1990), Allah Jalla Jalaluh, halaman 19-20

[2] Yahaya Bin Jusoh dan Azhar Bin Muhammad, Jurnal Hadhari Bil. 3 (2010) 23-41, Kesepaduan Falsafah Sains al-Quran dalam Kurikulum Sekolah Rendah Sebagai Asas Pembentukan Masyarakat Hadhari Di Malaysia, hlm 30-31.

[3] Yahaya Bin Jusoh dan Azhar Bin Muhammad, Jurnal Hadhari Bil. 3 (2010) 23-41, halaman 31

 

Ust Zul hilmei Mohamad Rohani
Penulis Buku
Fakta Saintifik Surah Yasin

Fakta Saintifik Surah Yasin