Ketahui lebih lanjut klik di sini

Kelebihan Surah Yasin diambil dari hadith yang dhoif?

Kelebihan Surah Yasin memang banyak. Terdapat banyak hadis dan athar yang diriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W serta golongan salaf tentang galakan, kelebihan dan ganjaran besar bagi mereka yang membaca dan beramal dengan Surah Yasin. Antara hadis-hadis yang menjelaskan mengenai kelebihan Surah Yasin ialah :

 

  1. Mendapat pengampunan daripada Allah S.W.T. Abū Hurairah r.a ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

 

من قرأ يس في ليلة ابتغاء وجه الله تعالى غفر له تلك الليلة

Maksudnya:Sesiapa yang membaca Surah Yasin pada satu malam kerana menuntut keredhaan Allah , nescaya dosanya diampunkan (oleh Allah SWT) pada malam itu. [1]

 

  1. Segala hajatnya akan tercapai. Aţa bin Abị Rabāh ada meriwayatkan bahawa telah sampai kepada berita bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

من قرأ يس في صدر النهار قضيت حوائجه

Maksudnya:Sesiapa yang membaca Surah Yasin pada awal pagi, maka segala hajatnya akan ditunaikan. [2]

 

 

  1. Surah Yasin adalah merupakan jantung al-qur’ān. Nabi Muhammad SAW telah bersabda:

ان لكل شيء قلبا وان قلب القرآن يس من قرأها فكأنما قرأ القرآن عشر مرات

Maksudnya:Sesungguhnya setiap sesuatu itu memiliki jantung dan jantung bagi Al-quran adalah Surah Yasin. Sesiapa yang membaca Surah Yasin maka Allah memberikan ganjaran seolah-olah ia membaca al-Quran sebanyak 10 kali. [3]

 

  1. Hadis Mauqūf yang diriwayatkan oleh Ibn Abbās:

من قرأ يس حين يصبح أعطي يسر يومه حتى يمسي ومن قرأها في صدر ليلة أعطي يسر ليلته حتى يصبح

 

Maksudnya:Barangsiapa yang membaca Surah Yasin pada waktu pagi, ia akan dipermudahkan segala urusannya sepanjang hari tersebut sehingga waktu petang, dan barangsiapa yang membacanya bila tiba waktu malam, ia akan dipermudahkan segala urusannya pada malam tersebut sehingga waktu pagi. [4]

 

  1. Hadis yang diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasār r.a juga bahawa Nabi SAW telah bersabda:
اقرؤا على موتاكم يس

Maksudnya:Bacalah Surah Yasin kepada orang-orang yang mati daripada kalangan kamu  [5]

 

[1] Al-Dārimị, (2000), Sunan al-Dārimị (4 jilid), ditahqịq oleh Husịn Salịm al-Dārānị, Cetakan Dār al-Mughnị Li al-Nasyr Wa al-Tauzị’, Mekah, 4:2150, no hadis 3460. Menurut pentahqiq, hadis ini đhaif kerana terputus sanadnya.

[2] Ibid. Hadis ini đhaif, hadis mursal.

[3] Al-Tirmidhi, (1975), Sunan al-Tirmidhi (5 jilid), ditahqịq oleh Ibrahim Aţwah I’wađ, Cetakan Musţoffā al-Bābị al-Halbị Wa Aulāduhū Bi Misr, Kaherah, 5:162, no hadis 2887

[4] Al-Dārimị, (2000), Sunan al-Dārimị  4:2151, no hadis 3462. Menurut pentahqiq, hadis ini memiliki sanad yang hasan dan merupakan hadis yang mauquf  ke atas Ibn Abbās.

[5] Ibnu Habbān, (1993), Ṣahịh Ibn Habbān (18 jilid), ditahqiq oleh Syua’ib al-Arna’uţ, cetakan Muassasah  al-Risālah, Beirut, 7:269, no hadis 3002. Sanad hadis ini đhaif. Abū Hātim menjelaskan bahawa yang dimaksudkan sebagai orang-orang yang mati di sini ialah orang-orang yang sedang nazak bukannya orang yang telah meninggal dunia. Lihat Ṣahịh Ibn Habbān 7:271

 

Jika diperhatikan kepada riwayat di atas, kebanyakan riwayat datang daripada hadith yang dhoif. Namun demikian tidak menjadi kesalahan kepada untuk kita untuk lakukan amalan terutamanya yang berkaitan dengan Surah Yasin. Tingkatkanlah usaha memahaminya dengan melakukan kajian terhadap ayat-ayat yang terdapat dalam Surah Yasin. Sampai bila kita hanya bergantung kepada bacaan dan tidak menaiktaraf pemahaman terhadap Surah Yasin. Lakukan perubahan pada diri anda bagi memastikan hari ini lebih baik dari semalam!

Ust Zul hilmei Mohamad Rohani,
Penulis Buku
Fakta Saintifik Surah Yasin

Fakta Saintifik Surah Yasin