Kisah Benar Surah Yasin yang orang tidak tahu

Kisah benar Surah Yasin ini menceritakan sebuah kisah penduduk kampung yang telah mendustakan rasul-rasul mereka. Seorang lelaki yang beriman dengan dakwah rasul-rasul tersebut juga turut dibunuh. Namun dimasukkan syurga oleh Allah manakala penduduk kampung tersebut dimasukkan ke dalam neraka. Peringatan juga diberikan agar mengambil pengajaran  daripada bencana yang telah menimpa kaum-kaum yang terdahulu.[1]

 

Menurut Ibn Kathịr  (774H/1373M), lelaki tersebut adalah merupakan seorang yang berpenyakit kusta, banyak memberi sedekah  separuh daripada harta pencariannya dan memiliki jiwa yang suci. Apabila dimasukkan ke dalam syurga, Allah telah menyembuhkan penyakitnya dan menghilangkan kesedihannya. Meskipun begitu ia berharap dapat berjumpa dan memberikan nasihat kepada kaumnya setelah kematiannya (setelah dimasukkan ke dalam syurga). Ia berharap alangkah baiknya jika kaumnya tahu terhadap ganjaran, pembalasan dan nikmat yang berterusan yang diterimanya, sudah pasti ia mahu memimpin mereka untuk mengikuti para rasul. Lelaki tersebut memiliki sikap yang bersungguh-sungguh untuk memberikan petunjuk jalan yang benar kepada kaumnya.[2]

 

Surah ini juga menjelaskan berkenaan adanya hari kebangkitan sesudah kematian. Persoalan tentang adanya hari kebangkitan semula sesudah mati menjadi isu besar untuk sebahagian orang mempercayainya. Oleh hal demikian, Allah telah mengemukakan bukti dengan meminta kepada manusia agar melihat kekuasaan Allah menghidup bumi yang mati menjadi subur. Keagungan kuasa yang tiada tandingnya dalam mentadbir kejadian malam dan siang, mengawal perjalanan matahari, bulan dan bintang-bintang dan menstabilkan perjalanan kapal-kapal laut dengan selamat tanpa ditenggelamkan dengan ombak yang besar. Hujah-hujah yang diketengahkan itu, tidak hanya terbatas membuktikan keagungan dan kekuasaan-Nya bahkan mendesak pemikiran manusia supaya meneroka, dan berfikir mengenai khazanah ilmu yang tiada berpenghujung. Allah yang Maha Agung, telah mendedahkan beberapa manfaat berkenaan jasad-jasad kelangitan seperti matahari, bulan, bintang dan planet-planet sebagai langkah permulaan untuk dibuat penelitian. Antaranya bintang telah terbukti dapat memberikan petunjuk jalan bagi mengelakkan manusia sesat menempuh perjalanan laut mahupun padang pasir yang terbentang luas. Kajian terhadap fakta yang dinyatakan sudah cukup untuk membuktikan Allah Maha berkuasa menghidupkan dan mambangkitkan semula manusia yang sudah mati.[3]

 

Fakhr al-Rāzị (606H/1210M) menjelaskan bahawa terdapat 2 faktor mengapa penjelasan ini dinyatakan oleh Allah. 2 Faktor tersebut ialah:

 

  1. Apabila manusia ingkar, bersikap negatif dan degil terhadap hari kebangkitan, maka Allah menunjukkan tanda-tanda kekuasaan-Nya bagaimana cara menghidupkan semula manusia yang telah mati.
  2. Setelah menjelaskan mengenai perihal dan kisah para rasul dan kemusnahan golongan-golongan pendusta, maka Allah mengajak mereka untuk memikirkan mengenai ketauhidan-Nya dengan menunjukkan bukti bagaimana manusia perlu melakukan yang demikian. Bagi menjelaskan perkara tersebut, maka Allah memulakan penjelasan mengenai bumi yang menjadi tempat tinggal manusia dan merupakan tempat yang tidak boleh dipisahkan daripadanya sama ada dalam ke adaan diam mahupun bergerak.[4]

 

Sungguhpun bukti-bukti yang dijelaskan begitu terang dan nyata, namun ada juga manusia yang ingkar kepada Allah S.W.T. Mereka diberikan peringatan akan menerima azab Allah yang pedih antaranya gambaran huru-haranya hari kiamat yang mengejutkan. Mereka dibangkitkan dan dihimpunkan hanya dengan satu tiupan. Mereka yang ingkar diberikan gambaran awal oleh Allah bahawa mereka bakal mengakui penyelasan mereka sekaligus berterus terang bahawa hari kebangkitan adalah benar. Namun Allah hanya menyediakan neraka jahanam kepada mereka. Ini adalah kerana penyesalan mereka sudah terlambat dan tidak boleh merubah nasib yang menimpa diri mereka.[5]

 

Selepas itu Allah menggambarkan golongan yang beriman kepada-Nya. Mereka mendapat nikmat di dalam syurga yang tidak dapat dibayangkan oleh lintasan hati manusia. Mereka mendapat jaminan keamanan, ketenteraman dan kebahagian daripada Allah yang Maha mengasihani.[6] Surah ini juga menolak tohmahan orang-orang kafir musyrikin yang mendakwa Rasulullah S.A.W adalah seorang penyair, bahkan baginda adalah merupakan pemberi peringatan menggunakan Al-Qur’ān. Manusia perlu mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka.

 

Surah Yasin diakhiri dengan jawapan balas yang mengejutkan terhadap mereka yang membantah dan menolak adanya hari kebangkitan. Jawapan yang dikemukakan Allah menyebabkan manusia terpinga-pinga. Jawapan yang diberikan adalah satu penjelasan yang pelik mengenai tumbuhan yang segar menghijau tiba-tiba boleh terbakar. Sedangkan sebelum ini, manusia beranggapan pepohon yang menghijau hanya terbakar apabila menjadi kering. Mengkaji dan menganalisis jawapan yang yang diberikan oleh Allah, akhirnya membuka dan mendedahkan satu rahsia bahawa Allah mampu untuk melakukan hari kebangkitan![7]

 

Surah ini sebenarnya ingin menyedarkan dan menghidupkan perasaan dan jiwa manusia dengan pendedahan yang luar biasa. Manusia tidak menyangka sama sekali jawapan yang diberikan sebenarnya memperbodohkan diri mereka sendiri sekaligus memperakukan mereka ini sebenarnya jahil dan ilmu yang dimiliki hanyalah setitik yang melekat pada sebatang jarum yang dicelupkan ke dalam laut yang terbentang luas. Oleh yang demikian, untuk apa mereka menentang Allah?[8]

[1] Wahbah Zuhailị, al-Tafsịr al-Munịr Fi al-Akịdah wa al-Syariah, wa al-Manhaj, 22:288

[2] Al-Imam al-Hāfiż Imād al-Dịn Abū  al-Fịdā’ Ismail Ibn Kathịr , 1997M/1417H, Tafsịr al-Qur’ān al-Karịm, Cetakan Maktabah al-Imān, Mansūrah, Egypt, 3 : 575

[3] Wahbah Zuhailị, al-Tafsịr al-Munịr Fi al-Akịdah wa al-Syariah, wa al-Manhaj, 22:289

[4] Fakhr al-Dịn Ibn al-Allāmah Đia’uddịn Umar (1981),Tafsịr Mafātịhul al-Ghaib, Dār al-Fikr, Beirut 26: 65

[5] Wahbah Zuhailị, al-Tafsịr al-Munịr Fi al-Akịdah wa al-Syariah, wa al-Manhaj, 22:289

[6] Ibid

[7] Ibid

[8] Ibid

 

Ust Zul hilmei Mohamad Rohani,
Penulis Buku
Fakta Saintifik Surah Yasin

Surah Yasin dengan Fakta Saintifik